Apakah cukup hanya dengan sebuah keluhan?

Apakah cukup hanya dengan sebuah keluhan?

 

Hari demi hari.. usia kita semakin meningkat.. takkan berpatah balik walaupun sesaat cuma. Ini bermakna semakin dekatlah juga kita pada detik kematian yang telah ditentukan oleh Allah pada setiap makhluk Nya.

Di saat-saat ini.. ketika tenaga semakin berkurangan.. bebanan semakin terasa.. malah kita semakin penat. Apakah cukup hanya dengan sebuah keluhan? segala masalah akan selesai. Apakah kita semakin gagah menuju kepada Nya.. ataupun semakin goyah?

 

IMG_3135

 

Apakah cukup hanya dengan sebuah keluhan?

padahal..

hidup ini memerlukan kekuatan .. kekuatan untuk terus istiqamah melakukan amal jariah tanpa putus-putus.. tanpa jemu.. tanpa bosan. pesankan pada diri..walaupun kita insan yang serba kekurangan dan sekalipun diri ini terhijab dari nikmat ketaatan. Namun, jangan biarkan diri sampai merasa nikmat pada kejahatan.

pesan juga..

pada diri.. Biarlah kita menangis sepuas-puasnya sekarang ini.. daripada kita menangis di sana nanti.. di mana pintu taubat telahpun terkunci rapi..sebenarnya tak mengapa kita selalu menangis kerana dosa kita yang menggunung tinggi.. daripada kita tersenyum nikmat kerananya.

 

img_8928

 

Pesan pada diri..

biarlah diri menghadapi kesukaran dalam bertaubat.. lakukan sahaja .. paksakan diri  untuk bertaubat.. walaupun kadang-kadang tidak menjadi, tapi lakukan juga. cuba dan cuba lagi. Ianya lebih baik daripada kita melakukan dosa tanpa henti.

Wahai diri..

kan lebih baik jika kita menangis kerana sentiasa merasakan diri berdosa.. biarlah kita tersenyum gembira dan ketawa mesra apabila kita bersama insan lain. Tapi, jauh di sudut hati yang paling dalam.. biarlah kita merintih mengenangkan dosa-dosa yang lampau.

 

Di usia yang semakin senja ini..

Cuba tanyakan diri.. lenakah tidur mu dengan beban dosa yang kau pikul? Mimpi indahkah dikau.. dengan perlakuan-perlakuan yang engkau lakukan?.. Duhai diri.. adakah kamu lupakan Mati? Di manakah Qalbun Salim yang akan menjadi penjamin mu pada hari di mana segala harta dan keluarga tidak lagi berharga?

Apakah cukup hanya dengan sebuah keluhan?

jawapannya tidak!.

Kena berusaha lagi bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan jangan berputus asa kerana sesungguhnya ALLAH itu dekat.. Pintu keampunan Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan Nya. dan.. yang paling cantik sekali.. walaupun apa keluhan dan rintihan yang hamba Nya ingin luahkan. Allah itu Maha Mendengar!!

 

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

perjalanan ini..

Perjalanan ini..

Perjalanan ini.. entah..

kita tak tahu bila kita akan sampai..?

 Perjalanan ini.. membuat kita cemas..

bilakah ianya akan berakhir..?

Perjalanan ini..

penamatnya adalah sebuah kejayaan ataupun kegagalan..?

 

img_9946

 

Hari pertama kita disini.. agenda utama kita adalah untuk menuju ke tempat perjuangan..  dunia ini adalah tempat perjuangan  yang telah  dirutinkan untuk diri kita.. sejak kita dilahirkan sehinggalah kita kembali kepada Nya. 

Walaupun agak bermalasan untuk memulai perjalanan ini..  namun, kita kena gagahkan juga.. kita tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan perjalanan yang terbentang di hadapan mata.  Bukan mudah memotivasikan diri untuk melakukan sebarang aktiviti .. apalagi jika ianya dilakukan tanpa kita ketahui di mana penghujungnya…

 

Perjalanan ini ..

umpama perjalanan hidup. Di mana .. di awal kehidupan kita , kita tidak tahu ke arah mana tempat yang akan kita tuju. langkahan demi langkahan yang kita lakukan bakal membawa kita ke suatu destinasi yang baru.  Kemudiannya kita akan bertemu dengan insan-insan lain.. insan-insan yang akan memberikan corak dan warna-warni dalam kehidupan kita.

Dengan insan-insan yang kita temui ini..  kita akan bertanyakan sedikit informasi tentang banyak perkara. Di sini.. banyak perkara-perkara baru yang akan kita pelajari. Ketika kita telah mengetahui  banyak perkara tentang tujuan perjalanan ini.. kita akan mula menanyakan tentang bagaimana cara untuk menuju ke jalan itu?

Kita akan bertanya dan bertanya berulangkali kepada orang-orang yang kita temui.. ianya untuk memastikan langkah-langkah akhir kita adalah langkah yang benar. Berbekalkan sedikit kekuatan dalam melayari peta kehidupan yang hendak dijelajahi.. agar perjalanan tidak tersasar jauh.. agar kita tahu jalan mana nak dilalui. Menambahkan lagi keasyikkan perjalanan ini.

Semua orang akan melalui detik-detik ini.. Wajah-wajah ceria dan duka, suara-suara riang dan sedih mengiringi perjalanan saat ini sungguh memberikan motivasi yang tertinggi ..  di mana pengakhirannya…??.Entah.. Kita gagahi juga menelusuri perjalanan ini..

 

Perjalanan ini..

 

 Selama melalui perjalanan yang mencabar hati dan minda ini.. banyak pertanyaan-pertanyaan awal yang tiada jawapan yang pasti. Ada yang menanyakan “kemanakah arah tujuan kita?”  , “Berapakah masa yang diambil untuk sampai di sana?” dan banyak lagi soalan-soalan yang sedang menari-nari diminda. Tarian minda yang seringkali membuat jiwa kita kacau.. 

Sebenarnya semua pertanyaan ini adalah sukar untuk dijawab kerana si penanya dan yang ditanya tidak mempunyai sebarang jawapan yang pasti. Ah! Betapa sukar untuk diterangkan…

 Keraguan mulai menghinggapi mereka-mereka yang melalui perjalanan ini. Keraguan mulai berbintik-bintik di hati mereka dan sedar tak sedar ianya sudah merebak perlahan-lahan pada diri yang lelah.

Kenapa ini berlaku?

Kerana walaupun sudah jauh berjalan.. kaki pun terasa sangat lenguh, lutut sendi juga terasa sakit.. namun masih  belum lagi mendekati tujuan.

 Apabila bertemu dengan insan-insan lain dalam melewati perjalanan ini.. banyak konflik yang akan terjadi.. sama ada ianya baik mahupun tidak berapa elok.. itulah hiasan yang terpaksa kita tempuh.

Siapalah kita untuk memilih-milih apa yang kita kehendaki. Namun konflik itulah nanti yang akan menentukan simpang mana yang layak kita selusuri nanti.

 

kadangkala kita akan mengeluh di saat langkahan kaki sudah menunjukkan kelelahan yang nyata.. masih bertanya dan bertanya .. untuk memastikan hala tujuan akhir kita. Apakah yang harus dilakukan?.. apakah harus kita melangkah terus dan mencuba untuk bertahan atau berhenti sahaja di sini..?

 

Perjalanan ini.. sampai bila??..

kita akan cuba menikmati setiap langkah-langkah.. dan berharap agar kita akan selamat sampai ke destinasi yang hendak kita tuju dan tidak akan disesatkan dengan sesuatu yang menjadikan kita terlupa tujuan asal kita yang utama..

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

positifkan cinta mu

Positifkan cinta mu..

 

Kata orang bijak pandai “Jangan mencari kebahagiaan di dalam rumah tangga mu, tetapi bawalah kebahagiaan itu ke dalamnya.”

 

 Apabila membaca kata-kata di atas memang jelas bahawa kita hendaklah berusaha membina kebahagiaan itu sendiri dan bukannya menunggu kebahagiaan itu datang sendiri. Jangan hanya menanti dan terus menanti untuk bahagia, tetapi carilah bahagia itu di dalam diri dan bawalah bahagia itu ke dalam rumah tangga kita.

IMG_2934

positifkan cinta mu

Salah satu cara untuk memupuk kebahagiaan dalam rumah tangga kita adalah dengan cara bersikap positif. Jika kita bersikap positif .. maka kata-kata yang terluah dari mulut kita juga kata-kata yang positif sekaligus melahirkan tindakan yang positif juga. Hasilnya pasti mendapat tindak balas yang positif dari pasangan dan juga anak-anak kita.

Sebenarnya..

untuk mengekalkan rasa cinta di dalam rumah tangga kita.. kita amat memerlukan sikap yang positif. Tanpa sikap positif ini , amatlah sukar untuk melalui cuaca rumah tangga yang seringkali berubah. sekejap panas.. sekejap sejuk.. sekejap angin sepoi-sepoi bahasa melanda .. sekejap lagi ribut taufan pula yang singgah.

Bagaimana hendak membina sikap positif itu?

Apakata mulakan dengan mengurangkan berharap apa yang ‘sepatutnya’ kita dapatkan daripada pasangan kita kerana dalam banyak situasi, kita seringkali tidak mendapat apa yang kita hajatkan. Betul tak? selagi kita hidup kita akan menghadapi situasi seperti ini.. jika coklat yang kita berikan.. jangan pula mengharapkan bunga dari si dia sebagai balasan!

Ramai pasangan tertekan dengan masalah seperti ini.. kecewa, geram, sedih dan seribu macam perasaan yang membuku di hati kerana sentiasa mengharapkan pasangan mereka membuat begitu..begini. Adalah tidak bijak apabila kita seringkali membuang masa dengan memikirkan apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu kita lakukan untuk pasangan kita.

Cuba fokuskan kepada tanggungjawab kita kepada si dia.. bukannya menuntut hak semata-mata. Pesankan pada diri.. jika tidak mendapat balasan dari si dia dengan apa yang kita buat, Allah pasti akan membalasnya dengan sesuatu yang baik.
IMG_6237

positifkan cinta mu

 

Nak positif.. kena bergaul dengan orang-orang yang positif juga. Jika kita bergaul dengan orang yang sentiasa negatif.. kita pasti akan dijangkiti dengan sikap negatifnya itu. Jika kawan dan jiran yang seringkali mengadu domba, mengumpat dan memfitnah..kita haruslah meletakkan satu jarak yang tertentu dengan mereka.

Ini bukannya memutuskan silaturrahim.. cuma menjauhkan diri dengan orang yang akan membawa toksik kepada diri kita. Ingatlah.. dengan siapa kita meluangkan masa kita.. ianya sangat menentukan sikap kita.

 

Nak positifkan cinta!!

Nak bahagia lakukannya sekarang!!…bukan semalam..bukan hari esok. Semalam sememangnya kita gembira tapi kegembiraan itu hanya pada waktu itu dan sayangnya waktu itu telah pun berlalu. Cuba ciptakan kegembiraan yang baru untuk hari ini..buat sesuatu pada hari ini.. misalnya memasak makanan kegemarannya..sesekali pergi keluar bersiar-siar berdua. Jangan tunggu sampai esok untuk melakukannya.. kerana ianya akan membunuh potensi hari ini dan esok belum tentu lagi kita akan bersama sidia.

 

IMG_8590

positifkan cinta mu

 

Jika stress pula..cuba cari jalan bagaimana hendak mengatasinya sebelum ianya menjadi barah dalam rumah tangga kita. Cuba lakukan sesuatu berdasarkan minat kita seperti menjahit, menenun, berkebun, membaca buku dan banyak lagi.

Aktiviti ini bukanlah eskapisme untuk masalah kita.. tetapi untuk memberi tempoh rehat agar kita kembali menghadapi masalah itu dengan fikiran yang tenang dan jiwa yang lapang.. Jika emosi telah kembali stabil.. kita akan dapat menguruskan stress yang kita alami itu dengan lebih baik lagi.

 

Untuk lebih positif

dalam mengharungi kehidupan berumah tangga ini.. cubalah hiasinya dengan gurau senda dan berhibur… Tidak perlu terlalu banyak.. sekadar mengisi sedikit keperluan untuk menambah perisa dalam rumah tangga kita. Janganlah terlalu serius…

Memang benar kita menghadapi banyak masalah di tempat kerja ataupun banyak perkara yang harus difikirkan secara serius.. tetapi cubalah bergurau senda apabila bersama pasangan kita. Jika terlalu serius dibimbangi  akan melahirkan “sindrom bisu” dan rumah tangga akan kehilangan seri. Berguraulah seadanya.. Boleh kan!!

Jom positifkan cinta dalam rumah tangga kita…

 

” Bukankah begitu indah.. jika kita saling mencintai dan saling memiliki kerana Allah..”

 

 

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Musuh Dalam selimut

Musuh dalam selimut.

Musuh dalam selimut.

Pernahkah anda merasainya?.. bagaimana rasanya apabila anda ditikam dari belakang 

apabila  anda mengenali orang tersebut.. orang yang anda percayai dan sayangi . Pasti pernah bukan! kalau tak berkali-kali .. pasti pernah walaupun sekali. Itulah dia mush dalam selimut!

Bagaimana pula jika kita tidak mengenali orang yang menikam kita dari belakang? mengkritik dan ingin menjatuhkan  kita tanpa mengenali kita. Hanya kerana cemburu melihat kejayaan orang lain. Pelikkan.. tetapi benar. Itulah dunia sekarang…
13726855_1041579512587239_9148558622846817026_n

musuh dalam selimut

 

Sebenarnya memang telah menjadi lumrah jika kita menghadapi situasi seperti ini.. kerana kita bukanlah hidup di dalam masyarakat malaikat. Kita hidup di dalam dunia .. aku.. aku dan kau.. kau. Masyarakat yang lebih mementingkan diri.. dan untuk berjaya mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.

 

Jika ini berlaku.. kita pasti sedikit sebanyak akan terkena tempias atas perbuatan khianat itu. perasaan takut mula menyelubungi hidup kita. Kita mungkin akan serik untuk mempercayai orang lain lagi. kebahagian juga akan terjejas .. malah lebih buruk lagi jika potensi diri kita turut pudar… Jadi .. berhati-hatilah dengan golongan musuh dalam selimut ini..
IMG_9703

musuh dalam selimut

 

sedarlah.. bangunlah sahabatku..

Jangan berikan kemenangan kepada mereka.. Jika kita asyik mengenangkan nasib kita yang malang.. kita telah membenarkan mereka merosakkan hidup kita berkali-kali. Stop!! jauhkan diri kita dari mereka. Tetapkan satu jarak yang jauh. Yang penting jaga hati kita… jaga kelakuan kita .. jaga hubungan baik sesama makhluk dan yang terpenting jaga hubungan kita dengan Allah.

sahabatku..

inilah realiti kehidupan yang akan kita tempuhi.. soalnya sekarang bagaimana kita cuba untuk memanfaatkannya untuk kita mencapai kejayaan.. daripada kesedihan itu.. kita jadikan kebahagiaan. bolehkan!! cuba besarkan cita-cita kita.. ya cita-cita yang besar boleh mengecilkan kritikkan dan pengkhianatan itu. Cubalah..
IMG_9704

musuh dalam selimut

sahabatku..

Jangan fobia dengan pengkhianatan yang pernah kita alamai.. jangan juga risau dengan pengkhianatan yang bakal datang. Tetapi.. mulai sekarang binalah cita-cita yang besar agar cita-cita yang besar itu mampu memperkecilkan semua itu. Be strong..

Sahabatku..

Ketahuilah.. orang yang menikam kita dari belakang ( musuh dalam selimut ) sebenarnya seorang yang penakut dan tidak mempunyai keyakinan diri untuk bertarung secara bersemuka. Orang ini akan sentiasa menyalak-nyalak dan mengacau kita.

Anggap sajalah kritikkan yang tidak adil yang dia lemparkan kepada kita seperti satu pujian yang tidak rasmi. usaha liciknya untuk menjatuhkan kita mungkin bakal menjatuhkan dirinya sendiri ke dalam lubang yang dia gali sendiri..

Kita..

Kitakan ada Allah. Teruskan berusaha, berdoa, bertawakal dan bersabar.. In shaa Allah kemenangan bakal berpihak kepada kita. Sayang sahabat semua..

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Jom Jadi baik

Jom jadi baik.

Jom jadi baik.

 

13103259_1000552510023273_4956486683435476513_n

Jom jadi baik

 

Aliran Harta, umpama air yang mengalir.. selagi ia mengalir.. selagi itulah air akan bersih dan jernih. sebaliknya jika air tersebut bertakung, ia akan kotor dan berkeladak. begitu juga harta, mesti dialirkan mengikut ketentuan hukum daripada Allah.

 

Jom jadi baik

Janganlah harta itu bertakung dalam kalangan orang-orang tertentu sahaja. ini akan merosakkan bukan sahaja pemilik yang bakhil itu.. malah sekaligus akan memudaratkan masyarakat.

Harta itu amanah Allah, maka dalam harta itu ada hak hamba Allah yang lain yang perlu diserahkan pada kadar-kadar yang tertentu, pada keadaan-keadaan yang tertentu dan pada masa -masa yang tertentu. Penetapan yang telah Allah tetapkan ada 2 cara iaitu :-
  1.  yang wajib iaitu zakat.
  2.  yang sunat iaitu sedekah, wakaf dan sebagainya.

selagi sebahagian harta dikeluarkan melalui 2 kaedah ini, maka selagi itulah harta itu akan memberi manfaat kepada pemiliknya dan juga masyarakat.

 

10505604_662632490539919_7397934662787966803_n

Jom jadi baik

 

Jom jadi baik

sebab itulah kak sal menulis seringkas mungkin coretan pada kali ini.. hanya ingin mengajak sahabat semua agar sudi mengingfakkan semampu mungkin harta yang kita ada di jalan yang telah ditentukan oleh Allah.

Pada kali ini, In Shaa Allah kak sal ingin menjalankan projek ‘Jom jadi baik’ iaitu melancarkan jualan tasbih yang berharga RM 15.00 tetapi boleh dibeli dengan harga serendah RM 10.00 ( terpulang kepada pembeli berapa nak bayar).

Separuh dari harga jualan tasbih ini akan kak sal salurkan kepada pembinaan Masjid Abdul Ghoni di Maahad Tahfiz Annabawi Langkawi dan  The thirdforce. separuh lagi akan kak sal buat modal semula untuk membuat lebih banyak tasbih .. agar kita boleh membantu lebih ramai orang.
11998853_662624223874079_1508883081718075648_n

Jom jadi baik

Jom Jadi Baik ..

sahabat ku semua.. cuba fikirkan.. apalagi yang lebih beruntung daripada semua ini? justeru keinginan yang membuak-buak untuk membantu orang lain akan membuatkan kita jadi lebih gigih mencari rezeki yang halal dan mengeluarkan harta yang terbaik itu sebagai zakat, sedekah ,wakaf atau apa juga kaedah yang telah ditentukan oleh Allah.

 

Sahabat ku..

… Alangkah beruntungnya mereka yang sanggup membantu golongan yang susah dengan niat yang ikhlas dan mengikut adab-adab yang baik… mereka akan mendapat doa daripada orang yang menerimanya, menyucikan diri daripada dosa-dosa, mengikis sifat bakhil, di samping menambahkan kecintaan kepada Allah.
mutiara (137)

Jom jadi baik

Sahabat ku..

… Kita buat baik bukannya kita telah menjadi orang yang baik.. tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik.. semoga apa yang saya catatkan ini dan siapa yang membaca coretan ini .. sama-sama tergolong dalam golongan mereka yang sedang berusaha untuk menjadi orang yang baik dengan sentiasa melakukan kebaikkan…

Kita sangat mengharapkan kasih sayang Allah.. semoga Allah menilai usaha kita yang kecil ini sebagai kesungguhan kita untuk mencari keredhaan-Nya. Aamiin.

Jom kita bantu mereka..

Jom jadi baik..

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Nota TQ buat Sifu Irfan Khairi.

Nota TQ buat sifu Irfan Khairi

Selamat hari guru buat guru-guru yang pernah membimbing saya dari kecil sehingga kini semoga para guru semua dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan. Nota hati saya pada hari ini saya tujukan khas buat sifu-sifu yang pernah mengajar saya semasa belajar di IKSB iaitu sifu Razzi Rahman, Sifu Amim,Sifu aman, Sifu Naim, Sifu Amirul dan teristimewa sekali buat master sifu Irfan Khairi.
11120558_10152837158389856_788525061170995550_n

Nota TQ buat Sifu Irfan Khairi

Sepanjang kembara menelusuri ilmu-ilmu yang dipelajari di IKSB.. saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya.. tetapi dari hati. mereka inilah sifu-sifu yang mengajar saya dari tidak mengetahui apa itu bisnes online sehingga terciptanya kedai online saya yang pertama.

Saya amat mengkagumi master sifu irfan khairi yang begitu bersahaja bila menyampaikan ilmunya. sifu IK bercakap dalam bahasa tulus dan telus.. tanpa bunga-bunga, tanpa renda-renda, tanpa kiasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.
12105738_889945814417277_1779478790258806886_n

Sifu Irfan Khairi

Pada saya.. sifu Irfan Khairi memang mentor yang hebat. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi sifu menyampaikan hikmah  melalui pengalaman yang pernah beliau lalui. Beliau adalah antara  ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar jasanya dalam bidang pendidikan walaupun tidak begitu didendangkan…

Beliau lebih dikenali sebagai jutawan internet.. tetapi bagi saya sifu Irfan Khairi adalah seorang mentor yang Berjaya melahirkan ramai murid-murid yang telah berjaya dalam bisnes masing-masing melalui bisnes secara online.

sahabatku..

ketahuilah.. ada ilmu yang tidak boleh diajar .. tetapi hanya boleh dipelajari.. ingat lagi ketika menuntut ilmu di dalam kelas sifu Irfan Khairi .. memang Nampak kesungguhannya, keyakinan, keikhlasan dan juga kematangan sifu  mendidik kami.

10526084_903367909705290_4734868161469849102_n

Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. mereka mengajar dan mengamalkan apa yang mereka tahu dan pernah lalui.. dan murid-muridnya belajar daripada teladan yang dilihat. bukan hanya dengan mendengar, menulis dan melihat.

Sifu Irfan Khairi juga seringkali mengajak kita melihat dunia luar.. jauh dari jangkauan kita. Selalu berkongsi cerita-cerita, ilmu, motivasi dan apa sahaja yang baru beliau pelajari atau alami di mana-mana sahaja beliau pergi mengembara.

Dewan kuliah sifu Irfan Khairi luas.. seluas bidang kehidupan. ketika para pensyarah mendefinisikan dan mengupas segala ilmu secara ilmiah.. sifu Irfan Khairi secara ‘simple’ menyampaikan ilmu secara amaliah.. dan praktikal.

12189873_974180992623981_8314674002592186043_n

sahabat ku..

rajin-rajinlah menajamkan pandangan hati untuk mencari mentor  yang begini. kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan  beliau. Aura positif sentiasa ada dan terpalit pada siapa-siapa yang selalu mengikuti program beliau.

Akhir sekali.. terima kasih Sifu Irfan Khairi yang sentiasa memberikan dorongan dan motivasi kepada kami.. dan tidak saya lupakan pada insan yang secara langsung ataupun tidak yang turut memberikan sokongan, namun tidak saya sebutkan namanya di sini.

Allah Maha Luas Pengetahuan -Nya.. sedangkan jangkauan fikiran dan ingatan saya sangat terbatas. Kepada ‘wira-wira yang tidak didendangkan’ saya ucapkan terima kasih atas segala kebaikkan yang telah diberikan   semasa saya menuntut ilmu di IKSB.

Semoga Allah Membalas budi baik kalian dan sesungguhnya itulah yang lebih baik dan kekal. Aamiin…

Terima kasih kerana sudi membaca Nota TQ buat sifu Irfan Khairi ini..

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Bila nak bermula?

Bila nak bermula ?

soalan itulah yang seringkali lahir di kotak fikiran kita sehingga kita sendiri pun tidak tahu bila nak bermula. Bila kita melihat ramai yang memulakan perniagaan secara online mahupun offline.. kita pun merasakan kita telahpun bersedia untuk memulakan perniagaan. Akan tetapi bila fikir-fikir balik.. takut pula. Apa yang menghalang anda untuk melangkahkan kaki ke dunia bisnes ini?

 

1455033_969020739843117_4143198167975502693_n

Bila nak bermula ?

 

Halangan terbesar yang seringkali di hadapi apabila kita’ bila nak bermula ‘ ialah perasaan  takut pada pesaing. Takut jika produk atau perkhidmatan kita tak dapat menyaingi pesaing. Takut jika orang tidak mahu membeli produk kita jika dibandingkan dengan pesaing.

Adakah anda terfikir yang pesaing anda  itu terlalu sempurna sehingga tiada ruang untuk anda bertapak? jika ya.. cuba cari cara pemasaran yang berbeza.. lain daripada mereka

sebagai pengguna dan juga bakal peniaga ..

anda pasti pernah menggunakan perkhidmatan ataupun membeli barangan daripada syarikat-syarikat yang besar ini. Kadang-kadang perkhidmatan mereka tidaklah sesempurna mana.

Di sinilah perlunya kita menunjukkan skill kita.. personal touch. Memang kita tidak dapat bersaing dari segi modal, produk dan lain-lain lagi.. tetapi dari segi personal touch mungkin ada sedikit harapan.

kedai salpearl (4)

Bila nak bermula ?

 

Bila Nak bermula ?

Soalan lain yang seringkali dipersoalkan ialah ” saya tak tahu apa yang perlu saya lakukan”..?

Di sini yang paling penting.. jangan percaya pada mitos yang anda seharusnya menyediakan perkhidmatan mahupun produk yang sama kepada semua golongan. sebagai contoh jika anda ingin memulakan perniagaan pakaian.. niche kan.

kenal pasti aspek mana yang bakal memenuhi citarasa  golongan tertentu. Tak perlu target untuk semua orang. Nanti anda sendiri yang penat. Buat market research terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan.

 

Seterusnya..

ada yang takut jika rugi dalam perniaagaan dan kehilangan modal.

Sebenarnya memulakan perniagaan bukannya bermakna merisikokan seluruh hidup kita. Start small .. untuk permulaan lebihkan masa bekerja dan cuba kurangkan kos.

Cubalah bisnes online yang memerlukan modal yang sedikit. Tak perlu sewa kedai dan menggajikan pekerja. Apabila kewangan semakin stabil barulah besarkan sedikit saiz perniagaan anda. Tapi ingat peraturan penting ini “never take risk more than you can afford to lose”.

accessories handphone (1)

Bila nak bermula ?

 

Masalah lain yang timbul ialah ..

adakah saya mempunyai masa??

Jangan jadikan tiada masa sebagai satu alasan .. jika anda tiada masa yang banyak dalam hidup seharian anda.. cubalah cari masa walaupun sedikit. 7 jam seminggu pun tak mengapa. Jika penat bekerja seharian.. cuba tidur awal dan bangun awal pagi. Jika anda benar-benar ingin memulakan perniagaan walaupun secara sambilan.. make time and throw yourself into it.

 

Sebenarnya tidak rugi jika anda mencuba.. jangan terlalu risaukan risiko yang bakal anda hadapi. manalah tahu anda akan Berjaya.. siapa tahu????..

Jadi.. Bila nak bermula ?

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Jadilah tukang kebun cinta

Jadilah tukang kebun cinta

 

Kala cinta mu bertandang

Hidupku terasa lapang

Suasana malam yang hening

Terasa sungguh bening…

 

Kala cinta mu bersemi

Mewarnai hidup ku ini

Duniaku semakin berseri

Dengan kasih yang kau beri

Sungguh-sungguh ku hargai

 

Kala cinta ini semakin subur

Hari-hari yang ku lalui penuh syukur

Harta benda bukannya pengukur

Bagi menilai cinta yang kau tabur

Sungguh-sungguh ku bersyukur

 

Kala cinta ini memancarkan seri

Janganlah ianya kau bawa pergi

Kerana aku tak sanggup menyendiri

Melalui hari-hari sepi

 izmah.

Berbicara tentang rindu dan cinta..

manusia tidak dapat lari darinya. Ya.. rindu dan cinta terletak di dalam hati.. tapi mestilah rindu dan cinta yang ‘BAIK’. Cintakan ALLAH dan cinta seseorang kerana Allah SWT hakikatnya tidak terpisahkan.

Namun ramai yang hanya tahu mengungkapkan “Aku menyintaimu kerana Allah”. Hakikatnya hanya pada ungkapan.. tetapi tidak pada tindakan dan juga perlakuan.
330823_10151293994581855_1685978766_o

Jadilah tukang kebun cinta

 

Pernahkah anda terfikir untuk menjadi seorang tukang kebun cinta yang rajin dan setia? jika tidak.. apakata mulakannya hari ini.. Jadilah tukang kebun cinta..

Cuba umpamakan rumah tangga kita seperti kebun yang harus dijaga, disirami dan dibaja. Tapi harus di ingat.. amat mudah untuk memiliki sebuah kebun berbanding menjaga kebun itu agar sentiasa subur.. dan tidak dirosakkan oleh haiwan perosak.

 

Langkah yang utama..

Untuk menjadi tukang kebun cinta  adalah menjaga kesuburan kebun cinta kita dengan berusaha membahagiakan pasangan kita kerana jika pasangan kita merasa bahagia.. kebahagiaan itu pasti akan terpalit kepada kita juga.

 Berbagai cara yang boleh kita lakukan.. jangan ketandusan idea.. percayalah jika hati kita mula melakukan sesuatu yang kreatif.. akan timbul pelbagai inovasi dengan sendirinya..
Abang dan Mah

Jadilah tukang kebun cinta

 

Selain itu..

jika ingin menjadi tukang kebun cinta yang Berjaya.. berusahalah untuk menjaga perasaan kita sendiri terlebih dahulu… cerialah. Insya-Allah keceriaan itu akan lebih memudahkan lagi kita menjaga perasaan pasangan kita. Hindarilah rasa benci, marah.. dan lain-lain perasaan negatif yang lain.

Tetapi sebagai manusia biasa..

perasaan-perasaan seperti ini pasti akan bertandang juga.. bermujahadahlah.. jangan biarkan ianya bertandang terlalu lama.. ia umpama racun perosak yang bakal memusnahkan kebun cinta kita. Jadilah tukang kebun  cinta yang kreatif!!!

Dah ada idea bagaimana nak menjadi tukang kebun cinta yang Berjaya???.. apakata anda sirami kebun cinta anda dengan perasaan kasih sayang..

budayakan kehidupan seharian dengan memberikan senyuman.. ucapkanlah salam selalu.. dan sering mencium tangan pasangan kita  ketika bertemu dan berpisah. Anggaplah senyuman itu umpama air, salam itu umpama Baja dan mencium tangan pasangan kita umpama cahaya.. Jika ini sentiasa kita lakukan, ianya pasti akan menyuburkan kebun cinta kita. cubalah!!

12342389_917504501661408_3337726557686141079_n

Jadilah tukang kebun cinta

Banyak lagi cara-cara yang harus dipelajari untuk menjadi tukang kebun cinta yang baik.. nanti kita akan bincangkan di coretan yang lain.

Cuma..

 jangan mudah berputus asa jika ditimpa sebarang masalah.. kerana dalam berumah tangga pasti ada kesusahan tapi ada juga kesenangan… ada kepahitan tapi kemanisan juga banyak. Kita bersusah-susah pun .. kita dijanjikan pahala… Baiti Jannati.

Di mana lagi syurga di dunia kalau bukan di dalam rumah tangga kita sendiri.

 

 

 

 

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

Kenapa anda berniaga?

Kenapa anda berniaga .

Sekarang ini, ramai yang ingin memulakan perniagaan tanpa mengetahui asal tujuan mereka ingin memulakan perniagaan. Jadi apabila anda ingin memulakan perniagaan.. asas yang paling penting yang perlu anda jawab pada diri anda sendiri ialah “kenapa anda berniaga?”.

Fikir sebaik-baik mungkin!

12113510_891875554224303_2553217338505627850_o

Kenapa anda berniaga

 Mencipta sebuah perniagaan dari tiada ke lakaran-lakaran yang hebat .. seterusnya mengaplikasikannya ke sebuah perniagaan.. akan memerlukan masa, tenaga dan wang ringgit yang banyak.

Jadi..
sebelum anda melangkah lebih jauh lagi, anda kena faham dan bersedia untuk memulakan satu perjalanan yang sangat mencabar kerana dengan kefahaman yang jelas.. anda mungkin akan lebih kuat uuntuk menghadapi segala macam rintangan yang bakal anda hadapi.

Bagi kebanyakkan orang..

mereka ingin memulakan perniagaan agar mereka bebas dari sebarang kekangan. Bebas dari kerja-kerja seharian yang bukan minat mereka, bebas dari bebanan kewangan, bebas dari bebelan seorang boss dan menjadi boss sendiri dan macam-macam lagi.

Akan tetapi.. adakah keputusan yang anda ambil untuk memulakan perniagaan sendiri ini adalah satu langkah yang bijak jika menggunakan  sebab-sebab di atas?
kedai salpearl (2)

kenapa anda berniaga

Akan tetapi..

Jika keputusan telah diambil dan ia adalah keputusan yang muktamad.. Walau apapun alasan anda untuk memulakan perniagaan sendiri.. anda perlu kuat..anda perlu positif..

Anda tidak perlukan kelulusan yang tinggi. Anda tidak perlu mengisi sebarang borang untuk menjual produk anda sendiri. Hanya perlukan satu keputusan dan disertakan dengan sebuah tindakan.

Jadi..

Mulakan sesuatu perniagaan secara kecil-kecilan dahulu. Jangan menghabiskan wang yang ada dengan sesuatu produk yang belum tentu akan terjual.

Anda boleh mencuba dan membuat penambahbaikkan secara beransur-ansur dan pastikan produk anda telah mampu untuk berdaya saing dengan saingan anda sebelum melaburkan wang yang banyak.

Pada saya..

mula-mula berniaga dahulu.. saya hanya target RM 100.00 sehari. ini mungkin bukan satu angka yang menarik bagi anda, akan tetapi.. ini hanyalah satu target sahaja. Jika ingin lebih.. berusahalah dengan lebih gigih lagi.

Dengan   sedikit demi sedikit  penambahbaikkan dari mana-mana yang kurang berkesan saya pasti  anda akan berjaya meningkatkan pendapatan anda. Walaubagaimanapun.. jika ingin terjun ke dunia perniagaan.. anda perlu bersedia.
Anda perlu ada..

1. stamina untuk menamatkan apa yang anda ingin mulakan. Ramai usahawan yang tersungkur di pertengahan jalan sebelum berjaya mengaut keuntungan. (bukan ingin menakutkan.. tetapi itulah kenyataan).

2. Perlu berfikiran terbuka untuk mempelajari benda-benda baru setiap hari.

3. Jangan ego. “Arrogance is a business – killer”.

4. membina sebuah perniagaan adalah sebuah proses yang sentiasa dilakukan berulangkali. Sentiasa membuat keputusan untuk perniagaan yang dibina. Apabila anda telah membuat sesuatu keputusan.. anda kenalah bertanggungjawab dengan keputusan yang telah anda pilih.

Anda kena berusaha untuk menjadikan pilihan yang telah ambil Berjaya dilaksanakan tanpa menyalahkan ekonomi, politik, masyarakat mahupun sebarang cuaca yang melanda.

5. sentiasa memantau perkembangan perniagaan anda.. samada ianya berjalan lancar atau sebaliknya.

IMG_4044

kenapa anda berniaga

Memang benar..

50% perniagaan yang baru muncul akan tersungkur dalam tempoh keramat.. “within 3 years”, tetapi sebahagian pula akan berjaya.

Jadi pastikan anda berada di tempat yang betul!… pastikan anda memilih produk yang betul.. perkhidmatan yang hebat anda laksanakan marketing secara betul, anda pasti boleh melakukannya.

 

Good Luck

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing

saat berpisah..

Saat Berpisah.

 Saat berpisah..

Teman…

Alangkah indah jika dapat diulang..

Detik-detik kenangan itu..

Satu-persatu bermain difikiran..

Memang sukar untuk ku lupakan..

 

Teman…

Di kejauhan ini..

Hanya doa ku utuskan..

Hanya salam ku hulurkan..

Bagi mengingati kembali..

Saat-saat  kita bertatih..

mengutip ilmu satu persatu..

 

Teman…

Andai kita dipertemukan kembali..

Ku harap kalian akan meniti kejayaan..

Seperti mana yang kita rancangkan..

Seperti mana yang kita harapkan..

 

Teman…

Hanya itu doa ku pasti..

Agar kita bertemu lagi

Agar kita berjaya nanti..

Di dunia …di akhirat..pasti…

12189873_974180992623981_8314674002592186043_n

Semalam adalah hari terakhir kelas Advanced Marketing & Branding Masterclass batch 1 yang dikendalikan sepenuhnya oleh master sifu Irfan Khairi. Selama 6 bulan mengutip ilmu satu persatu.. bersama teman-teman yang cukup positif dalam mengejar impian masing-masing.. bersama Master Sifu yang super positif.. yang auranya memang hebat..

Sedih dan gembira bercampur-campur… berbaur-baur di dalam hati. sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-teman seperguruan..juga dengan sifu .. kerana masih terasa diri ini terlalu banyak yang perlu dipelajari. Benarlah kata imam Syafie, ” semakin bertambah ilmu ku.. semakin banyak yang aku tak tahu.”

11064772_1018671834832087_6803742121214872741_n

Saat perpisahan…

pasti tiba juga.. memang tidak akan ada masa yang paling sesuai untuk berpisah.. tapi itulah hakikatnya.. jika berani menjengahkan diri bertandang dalam gelanggang ini..kena berani juga mengundurkan diri.. kini tibalah masa untuk kita mengaplikasikan segala ilmu yang telah sifu Irfan Khairi berikan.

Tapi .. semua ini bukan pengakhiran. Ianya merupakan satu permulaan yang lebih bermakna. Hari-hari yang kita lalui adalah satu lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan… agar kita lebih positif .. hari-hari adalah peluang untuk kita mencipta sesuatu yang lebih baik.

11817155_1004702819562322_1452806441412154581_n

Dengan ilmu yang kita kutip satu persatu.. dari sifu kita.. kita sepatutnya sudah boleh melangkah ke dalam dunia yang ingin kita lukis.. lukis dan tulislah langkah kita satu persatu.. biar teratur agar bila kita bertempur nanti kemenangan akan berpihak kepada kita.

Tapi..

ingatlah.. bila kita memulakan langkah. Perjalanan ini pasti memenatkan. setiap langkah yang kita buat.. semakin sarat tanggungjawab yang akan kita pikul. Tapi apakah ada pilihan lain selain meneruskannya?

1472877_904242466284501_900864890593076385_n

 

Teman..

seringkali kita harus ingatkan diri kita.. kalau ada masalah di pertengahan jalan.. teruskan perjalanan.. jika tidak boleh berlari.. cukuplah berjalan perlahan-lahan. Apabila yakin tujuan dan matlamat telah betul, soal kembali ke pangkal jalan tidak akan timbul. pasakkan pada diri ..tanamkan dalam hati..

 Inilah jalan yang benar..

walaupun jalan yang paling sukar.

Inilah jalan paling singkat.

walaupun terasa amat berat..

 

12227035_974181015957312_7823250486728669206_n

 

 

 

teman..

semoga nanti bila kita dipertemukan kembali.. kejayaan akan bersama kalian.. kerana kalian semua memang hebat.. dan paling beruntung sekali… kita ada mentor yang paling hebat.. Master Sifu Irfan Khairi.

11141352_1688429484718389_6468206821606020131_n

Kami anak murid Irfan Khairi

 

 

 

Share the knowledge... Thanks for Sharing
1 2 3